Selasa, Februari 17, 2009

Dato' Mokthar Dahari

Bersaing dengan Khalid Ali

Bersama Maradona

Allahyarham Dato' Mokhtar Dahari

Mengikut ranking keluaran Fifa pada 11 Feb lepas, kedudukan pasukan Malaysia turun lagi ke tangga 161. Nampaknya situasi pasukan negara bertambah parah, tiada peningkatan. Manakala di Asean pula pasukan negara berada di tangga ke 6 amat mengecewakan. Itu belum lagi kita perkatakan diperingkat Asia. Ketika dahulu kita adalah pasukan yang sebaris dengan Korea, Jepun, Morocco dan beberapa negara lain di Asia. Kini di kelompok Asean sendiri pun kita dah ketinggalan.

Rentetan situasi ini mengingatkan saya pada pasukan bolasepak kita pasa tahun 1972 dan 1980, apabila kita mampu melayakkan diri ke sukan Olimpik. Kekadang benak ini terfikir kenapa dulu boleh, sekarang tidak...apa yang terjadi...apa yang kurang atau apa yang tak kena...apakah pembangunan sukan bolasepak kita yang diwar-warkan tak menjadi...adakah fasiliti kita kurang ataupun permasalahan pemain-pemain itu sendiri?. Ini adalah persoalan asas yang pendapat saya rasakan perlu ada jawapan yang konkrit bukan sekadar melepaskan bantuk ditangga.

Suatu ketika dahulu kita mempunyai satu nama besar dipersada antarabangsa yang tidak asing lagi bagi peminat bolasepak negara, tak lain tak bukan Allahyarham Dato' Mokhtar Dahari. Beliau mendapat jolokan Super Mokh kerana kehebatannya menjaringkan gol di sepanjang kariernya dari tahun 1971 hingga 1987. Saya titipkan serba sedikit biodata tentang Allahyarham;

Dilahirkan di Setapak Kuala lumpur. Mendapat pendidikan awal di S.K. Jalan Kuantan (1960-1965) dan Victoria Institution (1966-1970). Anak kepada Dahari Abeng dan Maimon Sadikin. Beliau berkahwin dengan Tengku Zariana Tengku Ibrahim dan dikurniakan 3 orang anak iaitu Mohd Redza, Nur Azera dan Nur Arina. Mula mewakili pasukan Selangor pada tahun 1971 dalam kejohanan Piala Burnley dan Piala Malaysia pada tahun 1972. Pesta Bola Merdeka pada tahun 1972 adalah merupakan penampilan sulung buat beliau bersama pasukan bolasepak kebangsaan. Ketika perlawanan Pra Piala Dunia di Seoul pada tahun 1985 adalah penampilan terakhir beliau dalam skuad kebangsaan. Mempunyai kaps 167, menjaringkan 177 gol di Piala Malaysia dan 125 gol di peringkat antarabangsa. Menjaringkan gol penyamaan ketika menetang pasukan England B adalah merupakan jaring beliau yang terbaik. Membantu pasukan Selangor memenangi Piala Malaysia sebanyak 10 kali. Pernah membantu pasukan negara memenangi pingat gangsa di Sukan Asia Tehran pada tahun 1974. Dipilih sebagai Olahragawan Kebangsaan pada tahun 1976. Menerima beberapa anugerah diantaranya Ahli Mangku Negara (A.M.N) pada tahun 1977, Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P) yang membawa gelaran Dato' pada tahun 2000 dan Darjah Dato' Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (D.S.S.A) pada tahun 2001 yang juga membawa gelaran Dato'. Pada tahun 1989 disahkan mengidap penyakit Mascular Dystrophy, berlepas ke London untuk mendapat rawatan lanjut tetapi pulang ke tanah air tanpa sebarang perubahan. Pada tahun 1990 keadaan beliau semakin tenat dan kritikal. Pada hari Khamis bersamaan 11 Julai 1991, jam 8.25 pagi beliau menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Subang.

Beliau yang masih dikenanag sehingga ke hari ini walaupun hayatnya sudah bersemadi hampir 18 tahun. Biar pun generasi muda masa kini tidak begitu mengenali beliau sebagai bintang negara, tetapi hampir semua pasti pernah mendengar namanya sebagai pemain yang mempunyai bakat semulajadi yang berjaya mengangkat imej bolasepak negara setaraf ataupun sebaris dengan jaguh bolasepak dunia.

Pada usia 23 tahun beliau yang lebih terkenal dengan jolokan Super Mokh diiktiraf Majalah World Star Soccer sebagai penyerang terbaik Asia dan ketika itu jugalah dia dinobatkan sebagai Olahragawan Negara. Walaupun kelibat pemain istimewa seperti beliau yang tiada galang gantinya sehingga kini sudah lama meninggalkan kita, bayangan kehebatannya tidak pernah padam apatah lagi mengingati susah payah anak kelahiran Setapak, Kuala Lumpur itu mencipta nama walaupun dia memang sudah memiliki kurniaan yang tiada pada orang lain.

Apa pun kehilangan permata paling berharga bolasepak negara, tidak seharusnya ditangisi sampai bila-bila dan generasi sekarang sepatutnya cuba menjadikannya sebagai motivasi meningkatkan diri supaya bolasepak negara kembali bersinar seperti sebelumnya. Segalanya diharapkan FAM sendiri dapat mencari formula yang terbaik dalam meningkatkan mutu bolasepak kita dan mengangkatnya pada kedudukan yang sepatutnya. Apa jua permasalahan yang timbul mestilah diselesaikan dengan telus dan jangan ada agenda peribadi disebaliknya.(mannsgor)

Tiada ulasan: