Selasa, September 18, 2012

Amri meluap-luap


PENGGANTUNGAN tiga perlawanan dan kehilangan lilitan lengan sebagai kapten dalam skuad Selangor nyata membakar semangat Mohd Amri Yahyah untuk memberikan aksi terbaik sehingga berjaya melonjakkan Selangor mara ke suku akhir Piala Malaysia walaupun pada awalnya peluang Merah Kuning dilihat kabur.
Kehadirannya umpama penyelamat apabila membantu Merah Kuning mencatatkan empat kemenangan berturut-turut dan lebih penting dua jaringannya ketika kemenangan 2-0 ke atas Sarawak pada Jumaat lalu memastikan pasukannya bergelar juara Kumpulan D bagi mengatasi Pahang.

“Sebagai seorang pemain, adalah penting untuk melihat pasukan melangkah lebih jauh dan saya bersyukur kami sudah berjaya melepasi peringkat kumpulan. “Perkara lain adalah tidak penting,” katanya yang digantung tiga perlawanan awal peringkat kumpulan berikutan insiden membabitkan kekasaran ke atas pemain Kelantan, Muhammad Ghaddar dalam saingan Liga Super.
Tanggungjawab itu digalas kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim dipilih pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim menjadi kapten Merah Kuning.

Malah pemain berusia 31 tahun bertekad untuk meneruskan sentuhan jaringannya apabila bertemu Johor FC pada suku akhir pertama pada Jumaat ini.

Selain meningkatkan gandingannya bersama Bosko Balaban di jentera serangan, dia turut mahu memastikan episod disingkirkan Johor FC dalam saingan Piala FA tidak berulang.
“Setiap pasukan yang layak ke suku akhir tidak boleh dipandang rendah. Malah saya melihat Johor FC umpamanya mempunyai kemampuan dan kebolehan tersendiri apabila mampu mengikat LionsXII pada peringkat kumpulan selain mempunyai barisan pemain berpengalaman seperti dua bekas pemain kebangsaan, Eddy Helmi Abdul Manan dan Khairunisam Shahabudin.

“Paling penting adalah kami mencari gol awal bagi memastikan jaringan tempat lawan dapat dilakukan bagi memberikan kelebihan apabila beraksi di Stadium Shah Alam pada 26 September,” katanya.


mannsgor.

Isnin, September 17, 2012

“Oh” Dengarlah “Jeritan Batinku”


KETIKA ini sebenarnya saya sedang hanya bersama Merjah—hewan khayalan saya. Kami meninggalkan sedetik tasik warga hewan yang damai itu. Sekali ini kami tidak bersama kumpulan pipit, merpati, rusa, monyet, kambing dan, ya, sang buaya!Memang saya bersama Merjah saja. Dan, di kafe mini di KLSentral.

Ada pesanan lara yang ingin saya sampaikan kepada wakil masyarakat hewan. Selama ini masyarakat insan tidak sedia menerimanya. Dan Merjah (yang wujud di mata saya dan ghaib di mata khalayak) sedia menerimanya.

Dengan mewabakkan penyakit “warga segera” (kata saya kepada Merjah), maka berertilah kerajaan Umbarnas hanya berfikir tentang manfaat terkininya semata. Kerajaan tampaknya seolah tidak selesa berfikir tentang kesan tindak cemarnya itu.

Ternyata, memang tidak cukup sekadar menyimbahkan “upahan segera” hampir ke setiap ceruk yang mudah terpujuk ternyata semakin galak dibudayakan. Orang memberi bukan ketika menjelang pilihan raya. Itu berbau rasuah. Orang berjanji ketika menjelang pilihan raya. Itu baru segak.

Kalau kita tidak menyanggah wabak penyakit kongkalikong ini, (kata saya kepada Merjah yang separuh Merak separuh Gajah) berertilah kita bantu menjangkitkan penyakit manipulasi kuasa. Kita tohor. Malah kita kotor! Sebab, kita bantu mencipta kuasa demi memulakan—kemudiannya melestarikan—budaya gelumang dosa.

Memang kini kita sudah pun sampai ke tahap kekalutan kuasa secemar-cemarnya.Kerajaan Umbarnas terus degil—enggan melayan saranan Bersih. Mereka seolah-olah sangat yakin terhadap tindakan matlamat menghalalkan cara. Ya, kuasa itu nikmat.Kata saya kepada Merjah: Cukuplah dekad kuasa elita bangsawan selama lebih lima dekad itu. Janji menyuburi ekuiti bangsa pun mereka gagal seburuknya? Malah keluhuran bahasa dalam Perlembagaan pun mereka langgari. Perlembagaan tidak murni? Dan banyak lagi senarai kebobrokannya. Mereka suburkan semangat kronisma senyala-nyalanya dan melahap dana negara seghairah-ghairahnya. Kita lalui lima dekad yang lahap!

Makanya, cubalah menjadi anak lelaki yang sedia memungkinkan tafsiran kuasa terbaru. Jengahlah bagaimana kini Kerajaan India menangangi skandal ala Scorpene-nya dan memperelok landas demokrasinya. Rata-ratanya yang bergerak itu golongan bawahan—paling utama Anna Harare! Mereka sedang mempercantik wajah dan mempermurni batin bangsanya. Tidak mustahil kelompok daripada golongan murbawan kita juga berupaya menyembuhkan penyakit lahap kuasa yang sedang meraja-raja itu. “Oh” dengarlah “Jeritan Batinku.”

Cukuplah dedekad kuasa elita bangsawan. Kini, benarkanlah pula upaya permulaan era kuasa murbawan untuk menerjemahkan erti kuasanya pula.

Hentikanlah cengkaman dan kesombongan lama. Belajarlah bersantun menerima pusaran nasib demi kebahagiaan bangsa.

Khusus kepada generasi muda, sedarlah kebobrokan ini. Jangan risaukan sangat orang lama; mereka memang sudah lebih awal termadu atau tercandu. Anda yang masih BERSIH!

A. SAMAD SAID - 10 August 2011

mannsgor.

800 siswa berarak tuntut p'raya kampus bebas

Seramai kira-kira 800 pelajar menyertai perarakan di ibu kota Kuala Lumpur hari ini bagi menuntut pilihan raya kampus yang bersih dan berintegriti.


Kumpulan itu mula berkumpul di kawasan Masjid Jamek dan mula berarak pada kira-kira jam 2.30 petang menuju ke kawasan pusat membeli belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman, melalui Jalan Raja Laut. 

Sebelum berarak, kumpulan pelajar berkenaan menyanyikan lagu Negaraku.

Mereka turut membawa bendera Jalur Gemilang dan kain rentang antaranya bertulis "sistem pengundian yang telus", "peruntukan dana calon" dan "penetapan tarikh PRK".Kumpulan berkenaan turut melaungkan "bangkit anak muda", "tolak penipuan" dan "hidup mahasiswa".Turut kelihatan, maskot bagi Pro-Mahasiswa- 'Mat Gempak'.



Sekumpulan anggota polis dilihat berkawal di sekitar kawasan Dataran Merdeka dan Masjid Jamek dan mengawal kumpulan pelajar yang berarak.

Anggota keselamatan itu turut memberi amaran kepada para siswa berkenaan agar tidak menghalang lalu lintas. 



Perarakan ini antaranya disertai oleh Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Aksi Mahasiswa Peduli (AKSI). 

Setibanya di kawasan pusat membeli-belah Sogo, kumpulan siswa berkenaan duduk dan mendengar ucapan daripada pimpinan pelajar yang hadir kira-kira 30 minit. 

Kumpulan itu kemudiannya meneruskan perarakan melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman menuju Dataran Merdeka di mana kumpulan itu membawa 'Deklarasi Mahasiswa' beramai-ramai dan menyanyi lagu Negaraku sebelum bersurai pada jam kira-kira 4.15 petang. 

Pada sidang media selepas perarakan ini, Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional, Edikoup Lakip Sediyanto berkata tindakan yang diadakan hari ini adalah bersempena Hari Malaysia dan menuntut agar enam tuntutan pihaknya dilaksana sebelum pilihan raya kampus diadakan. 



"Kita minta agar enam tuntutan ini dilaksanakan. Walaupun pilihan raya kampus semakin hampir, kita tetap akan desak. Apa yang kita nak buat ini bukan untuk masa sekarang tapi untuk masa akan datang," kata Edikoup. 

Enam tuntutan tersebut ialah penetapan tarikh pilihan raya kampus, mahasiswa terlibat menguruskan pilihan raya kampus, pemantauan pilihan raya kampus, kebebasan berkempen, sistem pengundian telus dan peruntukan dana kepada calon. 



Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad berkata pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung kesalahan yang dilakukan siswa berkenaan dalam perarakan hari ini. 

"Kita akan siasat. Ada dua kesalahan. Pertama tidak beritahu polis untuk mengadakan perhimpunan dan kedua kerana mengadakan protes di jalanan. Semua ini akan disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012," kata Zainuddin.



mannsgor.

Ahad, September 16, 2012

Hishamudin Tun Hussein Onn’s Refusal To Guarantee Security For PR As Akin To A Refusal To Warn Those Resorting To Criminal Acts Of Violence Against The Personal Safety And Property Of Pakatan Rakyat Leaders And Members.


DAP is shocked by Home Minister Datuk Seri Hishamudin Tun Hussein Onn’s refusal to guarantee security for PR in the Home Ministry’s Hari Raya Aidilfitri Open House at Putrajaya yesterday. Such refusal by the Home Minister is akin to a refusal to warn of stern action against those resorting to criminal acts of violence against the personal safety and property of PR leaders and members. Is Hishamudin providing not only just legal immunity from prosecution but also sanctioning such wrongful acts?
By refusing to either guarantee PR leaders’ security, Hishamuddin is sending a wrong message against those involved in violent attacks on the PKR’s nationwide Merdeka Rakyat bus tour. Will we see more of such violent attacks not just against PKR but also PR? This question of public security is critical following the systematic and organised attacks against DAP in Penang yesterday where the DAP Penang headquarters and 3 DAP State Assemblymen service centers, Datuk Keramat ADUN Jagdeep Singh, Pulau Tikus ADUN Koay Teng Hai and mine, were attacked with red paint.
This is the first time in Malaysian history that a Chief Minister’s service center has been attacked, a dangerous escalation of the political culture of hatred and violence against PR and DAP leaders. The latest attacks are clearly part of a systematic and organised effort to threaten, subvert and undermine the PR Penang state government as this is the 3rd such attack in 13 months.
On Aug 14, 2011, the DAP Penang headquarters and the service center of Komtar ADUN Ng Wei Aik was splashed with orange and red paint. 4 days later there was an attempt to burn the DAP Penang headquarters’ building. To date the culprits involved were neither apprehended nor identified by the police.
I do not know whether there will be more of such attacks against the DAP in Penang. However, DAP will not be intimidated by such acts of violence but will continue with the mandate given by the people in Penang to implement people-centric policies and a clean government. I urge our members and supporters to remain calm in the face of such provocations and remain steadfast with democratic culture of non-violence. PR and DAP will ultimately prevail and win by rejecting the politics of hate, lies and violence.
Hishamudin should immediately restore some of his personal credibility and uphold the rule of law by withdrawing such irresponsible remarks and issue a directive to the police to take stern action behind the perpetrators of such illegal and criminal acts of violence against PR to prove that there are no double standards nor selective prosecution.
LIM GUAN ENG
mannsgor.

Haram cetak rompak jadi modal perniagaan


SEHINGGA hari ini, boleh dikatakan masih ramai tertanya-tanya atau ragu dengan isu bahan ciplak atau nama lainnya barangan cetak rompak yang kini semakin banyak disalin secara tidak sah.

Walaupun ada halaman buku yang ingin disalin cetak tertulis perkataan ‘Hakcipta Terpelihara’ serta ‘Tidak Dibenar Ulang Cetak’, masih ramai tidak mengendahkannya dan terus membuat salinan, khususnya membabitkan salinan fotostat. 
Kita lihat hari ini, perkara ini terlalu biasa dalam kehidupan seharian umat Islam. Sehingga ada yang menjadikan cara ini sebagai modal perniagaan mereka.

Terutama pada musim harga minyak dan barangan semakin meningkat, semua perkara yang dikira mampu menjimatkan kos akan menjadi pilihan ramai hingga kerap melupakan pandangan Islam atau hukumnya.

Bagaimanakah sebenarnya pendirian Islam dalam hal ini? Adakah terus mengharamkannya tanpa bicara?

Sampai kepada saya satu soalan seperti berikut: “Ustaz, saya menjalankan perniagaan fotokopi dan percetakan komputer secara kecil-kecilan di sebuah universiti awam. Masalahnya, saya menggunakan perisian Windows dan Microsoft Office yang cetak rompak. Saya tahu tindakan saya salah, tetapi harga tulen terlalu mahal.

“Saya harap dapat ustaz jelaskan hukum pendapatan daripada perniagaan yang menggunakan perisian cetak rompak dan harap dapat ustaz berikan jalan untuk saya selesaikan masalah ini.”

Saya rasa jawapannya sudah jelas apabila orang yang bertanya itu sendiri mengerti bahawa ia salah. Ini kerana, harta intelek diiktiraf Islam sebagaimana difatwakan ulama sedunia sebagai harta persendirian yang terpelihara.

Justeru, kita tidak boleh mengambil dan menggunakan produk cetak rompak, khususnya apabila perisian itu digunakan untuk diniagakan, sebagai contoh dibuat salinan demi salinan dan dijual pada harga rendah.

Ini bermakna apabila seseorang menjadikan barang tiruan sebagai tulang belakang perniagaannya, perniagaan itu adalah haram, hasilnya juga haram.

Ia sangat jelas berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang melarang umat Islam menjalankan perniagaan sesuatu yang haram kerana hasilnya juga menjadi haram, iaitu yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah, apabila mengharamkan sesuatu, maka akan haram jugalah harga jualan (keuntungan yang terhasil daripada yang haram).” (Ar-Rawdu Al-Murabba’, Riwayat Ibn Hibban)

Rasulullah SAW juga pernah mencela orang Yahudi yang apabila diharamkan memakan daging babi dan lain yang haram bagi umat Islam, mereka (Yahudi) membuat helah dengan mengambil lemaknya dan dihiaskan lalu dijualnya.

Apabila Rasulullah SAW mendapat tahu, baginda terus berkata: “Allah akan menghancurkan Yahudi yang mana mereka ini, apabila Allah mengharamkan makan lemak (babi, bangkai dan lain-lain yang diharamkan), mereka membuat helah dengan menjualnya serta menikmati hasil jualannya.” (Riwayat Al-Bukhari)
Hasil daripada kumpulan hadis ini, bentuk tindakan dilakukan yang ingin saya tekankan adalah, ia sama seperti cetak rompak kerana haram daripada sudut hukum Islam.

Ia berdasarkan keputusan Majlis Kesatuan Ulama Sedunia (Majma Fiqh Islami) dan juga keputusan Majlis Fatwa Eropah yang disebut oleh Syeikh Dr Yusof al-Qaradawi.

Mungkin ada yang berhujah bahawa perisian Windows itu adalah milik seorang kafir yang merujuk kepada Bill Gates dan tiada masalah untuk menggunakan yang cetak rompak selain ada juga yang menyatakan beliau terlalu kaya, oleh itu penggunaan bahan berkenaan tidak memberi apa juga kesan pada kekayaannya.

Sebenarnya, hujah ini meleset dan tertolak dalam fiqh Islam kerana Muslim tidak dibenarkan mencuri harta orang kafir (kecuali kafir yang berperang dengan Islam seperti tentera Amerika di Iraq).

Dalam keadaan tiada peperangan fizikal yang jelas, perisian Windows harta syarikat Microsoft dan pemilikan itu diiktiraf oleh syariah dan diharamkan untuk sesiapa saja dicerobohi sesuka hati.

Dalilnya terlalu banyak, iaitu paling mudah apabila Rasulullah SAW dan sahabat berjual beli dengan orang bukan Islam, Yahudi serta kafir Musyrik. Semua itu menunjukkan umat Islam tidak dibenarkan mencerobohi dan mesti membelinya dengan cara halal.

Namun begitu, menurut sebahagian ulama, jika pelajar ingin menggunakan perisian untuk komputer peribadinya dan bukan untuk perniagaan, hukum mungkin lebih ringan, terutama jika pelajar ini benar-benar ketandusan wang untuk mendapatkan yang tulen.

Sedangkan dia memerlukan komputer dan sesuatu perisian khas untuk tujuan pembelajarannya, tatkala itu, ada ulama mengharuskan atas asas: 
·  ‘Hajat Mendesak’ dan kedudukan kewangan bermasalah. Berdasarkan kaedah Fiqh: Ertinya: “Suatu keperluan yang boleh jatuh dalam kategori terdesak, sama ada ia berbentuk umum atau khusus.” (Al-Ashbah Wa An-Nazair) 


·  Hanya untuk kegunaan peribadi dan bukan untuk tujuan komersial


·  Bertempoh. Ertinya apabila kedudukan kewangannya sudah baik, dia perlu membeli yang tulen

Demikian juga halnya keadaan pelajar di universiti. Sebagai contoh, ada pensyarah menjadikan buku tertentu sebagai ‘silibus’ dan bahan rujukan. Setiap subjek mungkin sehingga lima atau enam buku digunakan.

Sudah tentu pelajar tidak mempunyai sumber kewangan untuk membeli buku yang mungkin tebal dengan harga tinggi.

Lalu tatkala itu, pelajar dibenarkan membuat salinan fotostat halaman tertentu yang berkait dengan pembelajarannya. Maka, pada waktu itu ia diharuskan.

Kembali kepada keadaan seperti dinyatakan, jika benar seseorang itu menghadapi kesukaran wang (hanya beliau dan Allah yang tahu) untuk membeli perisian tulen yang mahal harganya berbanding kemampuannya, maka ada keringanan untuk beliau menggunakan produk tiruan itu dulu buat sementara waktu.

Ketika perniagaan seseorang itu sudah dapat menjana keuntungan yang baik dan stabil serta tiada lagi keperluan mendesak, tatkala itu wajib untuk bertukar dan membeli yang tulen.

Sumber: Ustaz Zaharuddin (Harian Metro)


mannsgor.

Parti Islam Semalaysia (PAS)

1951

Kemunculan PAS dalam sejarah politik tanah air telah bermula semenjak 23 Ogos 1951 apabila para ulamak yang bersidang di Kuala Lumpur bersetuju menubuhkan sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Ulamak Se-Malaya. Nama persatuan ini kemudiannya diubah menjadi Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) pada 24 November 1951, dalam satu persidangan ulamak Malaya di Bagan Tuan Kecil (Butterworth), Seberang Prai. Itulah sekelumit permulaan sejarah PAS yang diasaskan oleh para ulamak yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah pertubuhan politico-dakwah yang penting di negara ini. Penglibatan dan sumbangan PAS dalam politik negara bermula sebaik sahaja ia ditubuhkan walaupun ramai pengkaji mengatakan PAS hanya menyertai politik menjelang pilihan raya 1955.


Kemunculan PAS ini dikatakan hasil daripada silang pengaruh yang berlaku antara beberapa gerakan Islam yang lebih awal seperti Ikhwanul Muslimun di Mesir, Masyumi di Indonesia dan Jamaat Islami di Pakistan. Ketiga-tiga pengaruh ini telah menyerap masuk ke Tanah Melayu melalui para ulamak yang belajar di Mesir, Mekah, India dan Indonesia. Kesedaran yang awal ialah para ulamak atau umat Islam memerlukan sebuah pertubuhan atau badan yang boleh mewakili mereka dalam semua aspek kehidupan terutama dalam keadaan Tanah Melayu sedang dijajah oleh British ketika itu. Longgokan ksedaran ini kemudiannya menghasilkan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 1947 diikuti oleh Hizbul Muslimin pada 1948 kesan daripada usaha gigih Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Walau bagaimanapun, gerakan Islam yang berpusat di Gunung Semanggol ini terkubur ekoran penguatkuasaan Ordinan Darurat pada Jun 1948.

Para ulamak mengambil beberapa sikap selepas tragedi darurat ini. Ada yang ’tawakuf’ daripada politik kepartian tetapi menggerakkan kesedaran rakyat melalui institusi pendidikan atau media massa. Dalam fraksi yang lain, para ulamak telah mengambil sikap untuk menyertai parti nasionalis UMNO bagi membolehkan isu-isu umat Islam diperkatakan. Beberapa tokoh Hizbul Muslimin seperti Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan, seorang lepasan Maahad Ihya Assyariff, Gunung Semanggol telah menyertai UMNO pada 1950 dan dilantik mengetuai Bahagian Agama dan Pelajaran UMNO. Bahagian ini kemudiannya mengaturkan beberapa persidangan untuk membolehkan ulamak menubuhkankan persatuan. Dalam tulisannya, ”Ulamak Malaya Belum Bersatu dan Belum Punya Persatuan”, Haji Ahmad Fuad menyifatkan kedudukan ulamak ketika itu umpama sampah yang tidak dihargai kerana tiada kekuatan. Lebih-lebih lagi ketika itu ulamak telah muak dengan sikap UMNO yang mengabaikan isu pemurtadan Natrah, pengajuran judi loteri, fun fair, kaberat dan lain-lain. Dalam satu persidangan ulamak yang dipimpin oleh Sheikh Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang di Seberang Perai pada 1951, mereka telah mengeluarkan fatwa mengharamkan judi loteri anjuran UMNO.


Dalam konflik pelbagai yang dihadapi oleh para ulamak dan situasi politik semasa yang masih tidak menuju kepada jalan Allah itu, maka para ulamak membuat pendirian untuk menubuhkan PAS. Haji Ahmad Badawi, seorang ulamak di Seberang Perai telah mengeluarkan satu manifesto yang dinamakan ’Manifesto al-Badawi’ dengan tema ”Ulamak ke Jalan Allah” bagi menyambut persidangan untuk menubuhkan PAS pada 24 November 1951. Mereka memutuskan supaya PAS menjadi sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan melalui landasan demokrasi ke arah membentuk sebuah negara yang diredhai Alah. Para ulamak menolak bentukbentuk perjuangan yang diasaskan berdasarkan ideologi ciptaan manusia yang dibawa masuk oleh penjajah.

Semenjak itulah, PAS muncul sebagai sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan negara, kemudian menyertai pilihan raya demi pilihan raya. PAS juga menggunakan pelbagai saluran untuk menyampaikan mesej dakwahnya termasuk membentuk beberapa kerjasama politik dengan orang bukan Islam semenjak 1953. Di bawah kepemimpin Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dan Dr Haji Abbas Alias, PAS bercakap soal kemerdekaan yang boleh ditegakkan hukum Islam. PAS menolak kerakyatan jus soli yang merugikan peribumi dan PAS mendesak supaya Islam dijadikan dasar negara yang merdeka.


Apabila Dr Burhanuddin al-Helmy mengambil alih kepemimpinan PAS pada akhir 1956, PAS mula memperincikan sikapnya terhadap kemerdekaan yang hendak dicapai yang dianggap ’masih kosong’ dari matlamat sebenar kerana mengabaikan kebangsaan Melayu dan ketuanan Islam1. Hal ini tergambar daripada hasrat Dr Burhanuddin,
”Dalam perjuangan kita (PAS) bagi mencapai kemerdekaan, kita telah dan terus menerus memperjuangkan Melayu itu sebagai kebangsaan bagi negara Tanah Melayu ini dengan bertapak di atas asas ideologi Islam yang maha suci”2.

Penyertaan PAS dalam pilihan raya 1959 telah memberikan kejayaan besar apabila Terengganu dan Kelantan berjaya dikuasai. PAS membentuk kerajaan yang dipimpin oleh Mohd Daud Abdul Samad di Terengganu dan Ustaz Ishak Lotfi Omar di Kelantan sebagai Menteri Besar. PAS memulakan langkah sebagai kerajaan di dua negeri Pantai Timur untuk menterjemahkan ideologi perjuangannya yang berasaskan al-Quran dan Sunnah. Namun begitu, kerajaan PAS di Terengganu telah dijatuhkan pada Oktober 1961 hasil permainan politik kotor Perikatan. Di Kelantan, PAS berjaya bertahan sehingga BN mendaruratkan Kelantan pada akhir 1977. Dalam konteks ini, PAS-lah satu-satunya pembangkang yang diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah kerajaan negeri di negara ini.

Selepas kejatuhan Terengganu pada hujung 1961, PAS mulai menerima tekanan-tekanan politik seperti penyalahgunaan ISA, penahanan Dr Burhanuddin al-Helmy diikuti oleh sekatan politik, keganasan Pemuda Tahan Lasak Umno dan beberapa siri pembunuhan politik. Perjuangan PAS untuk memartabatkan kebangsaan Melayu Raya berasaskan Islam telah dijadikan kambing hitam dalam Konfrantasi Indonesia pada 1963. PAS menolak pembentukan Malaysia kerana mahukan sebuah negara Melayu yang lebih besar meliputi seluruh alam Melayu dibentuk. Dalam masa yang sama Umno mencanangkan isu-isu perkauman yang akhirnya membawa kepada beberapa siri perbalahan kaum di Pulau Pinang, Perak dan Singapura antara 1964 hingga 1969, dan kemuncaknnya tercetus Tragedi 13 Mei 1969 yang mengubah landskap politik negara. Selepas tragedi ini, Datuk Mohd Asri Muda yang memangku jawatan Yang Dipertua Agung PAS semenjak 1965 telah dilantik sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 1971.

PAS memasuki era baru dalam politik negara apabila PAS mula meneroka kerjasama dengan Umno bagi menjamin kestabilan politik negara, mengekalkan ketuanan Melayu dan menyerapkan Islam dalam pemerintahan. PAS menyertai beberapa parti lain telah membentuk Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1973, kemudian sama-sama mengasaskan Barisan Nasional (BN) pada 1974. BN mencapai kejayaan besar dalam pilihan raya 1974 dan PAS sendiri telah berjaya menembusi ruang-ruang yang baru sehingga membolehkan Islam di sampaikan ke corong telinga rakyat dengan lebih berkesan. Walau bagaimanapun, keterbukaan PAS dalam membentuk kestabilan politik negara telah disalahgunakan oleh musuh-musuh politiknya dengan melaga-lagakan pimpinan PAS sehingga terjadi krisis politik Kelantan pada 1977. Akibatnya, PAS telah menolak Akta Darurat (Kelantan) 1977 yang menyebabkan PAS bukan sahaja disingkirkan dari BN, tetapi turut kehilangan Kelantan.

Setelah melalui tempoh yang mencabar antara 1978 hingga 1982 di mana PAS terpaksa berhadapan dengan perpecahan, kehilangan kuasa pemerintahan, tekanan ISA dan krisis kepemimpinan, akhirnya PAS telah mengasaskan kepemimpinan ulamak pada Oktober 1982. Tuan Haji Yusof Rawa telah diangkat untuk memimpin PAS bagi menggantikan Datuk Mohd Asri yang meletakkan jawatan. Permulaan era kepemimpinan ulamak memperlihatkan PAS kembali kepada asas perjuangannya untuk mendaulatkan Islam dan memberikan penekanan terhadap kwajipan tersebut. Gerakan dakwah PAS berkembang dengan lebih tersusun melalui pendekatan haraki dan dalam masa yang sama PAS terus membina jambatan dakwah dengan non-Muslim sehingga terbentuk Majlis Perundingan Cina (CCC). Di sudut yang lain, pendekatan PAS telah disambut oleh kerajaan dengan melaksanakan juzuk tertentu daripada Islam seperti Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam, Dasar Bersih, Cekap dan Amanah serta penubuhan Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa dan lain-lain.


Paling mencabar pada era kepemimpinan ulamak ialah beberapa siri penyalahgunaan ISA yang berlaku pada 1984, 1987 dan 1989, ketimbang dengan desakan PAS untuk diadakan Debat Terbuka PAS-UMNO pada 1984. Dalam kemelut ini, tercetus pula tragedi Memali pada November 1985 yang mengorbankan 14 orang ahli PAS. Tetapi, pada 1987, UMNO pula menghadapi krisis kepemimpinan sehingga parti tersebut diharamkan. Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor memanfaatkan kesempatan ini dengan mewujudkan kerjasama politik dengan serpihan Umno, Semangat 46 yang membolehkan PAS berkuasa semula di Kelantan. Ketua Dewan Ulamak PAS (kemudian Mursyidul Am PAS), Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat diberikan kepercayaan untuk memimpin kerajaan Kelantan semenjak 1990. Dengan dasar ’Membangun Bersama Islam’, PAS berjaya melaksanakan tanggungjawabnya untuk menegakkan hukum Allah yang berada dalam bidang kuasana.

Pada 1996, PAS mula berkrisis dengan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) yang menyebabkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang dibentuk pada 1989 berpecah. Dua tahun kemudian, Umno sekali lagi menghadapi perpecahan ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyebabkan wujudnya gerakan Reformasi. PAS telah memimpin Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) bagi menuntut keadilan kepada rakyat, kemudian menubuhkan Barisan Alternatif (BA) pada 1999

Melalui BA, PAS berjaya merampas semula Terengganu. Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang diamanahkan untuk mengetuai kerajaan Terengganu sehingga 2004. Selepas pencapaian lemah PAS pada 2004 kerana momentum Perdana Menteri baru, PAS bangkit semula pada 2008 dengan mengetuai tiga kerajaan negeri dan turut serta dalam kerajaan di Selangor. Kini, PAS dilihat sebagai pencabar utama Umno dalam menguasai politik orang Melayu 


Sepanjang tempoh 1951-2008 ini, PAS telah dipimpin oleh tujuh orang Yang Dipertua Agung/Presiden iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan (1951-1953), Dr Haji Abbas Alias (1953-1956), Profesor Dr Burhanuddin al-Helmy (1956-1969), Datuk Mohd Asri Muda (1969-1982), Tuan Haji Yusof Rawa (1982-1988), Dato’ Fadzil Mohd Noor (1988-2002) dan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (2002 hingga sekarang).

Para pengkaji yang menganalisis perkembangan PAS ini mengatakan PAS telah mengalami empat jenis kepemimpinan iaitu kepemimpinan ulamak tradisi (1951-1956), kepemimpinan nasionalis kiri (1956-1969), kepemimpinan nasionalis kanan (1969-1982) dan kepemimpinan ulamak haraki (1982-sekarang)3. Dalam pada itu juga, mereka mengatakan PAS telah melalui empat tahap perkembangan iaitu tahap kemunculan (1951-1959), tahap kebangkitan (1959-1973), tahap kemuncak (1973-1977), tahap kejatuhan (1977-1990) dan tahap kebangkitan semula (1990-sekarang)4. Dari sudut pembinaan ideologi perjuangan PAS, dikatakan berlaku tiga fasa iaitu fasa penubuhan dan pembentukan ideologi (1951-1958), fasa pencernaan ideologi (1958-1982) dan fasa pengukuhan idelogi (1982-1995)5.



mannsgor