Selasa, September 18, 2012

Amri meluap-luap


PENGGANTUNGAN tiga perlawanan dan kehilangan lilitan lengan sebagai kapten dalam skuad Selangor nyata membakar semangat Mohd Amri Yahyah untuk memberikan aksi terbaik sehingga berjaya melonjakkan Selangor mara ke suku akhir Piala Malaysia walaupun pada awalnya peluang Merah Kuning dilihat kabur.
Kehadirannya umpama penyelamat apabila membantu Merah Kuning mencatatkan empat kemenangan berturut-turut dan lebih penting dua jaringannya ketika kemenangan 2-0 ke atas Sarawak pada Jumaat lalu memastikan pasukannya bergelar juara Kumpulan D bagi mengatasi Pahang.

“Sebagai seorang pemain, adalah penting untuk melihat pasukan melangkah lebih jauh dan saya bersyukur kami sudah berjaya melepasi peringkat kumpulan. “Perkara lain adalah tidak penting,” katanya yang digantung tiga perlawanan awal peringkat kumpulan berikutan insiden membabitkan kekasaran ke atas pemain Kelantan, Muhammad Ghaddar dalam saingan Liga Super.
Tanggungjawab itu digalas kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim dipilih pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim menjadi kapten Merah Kuning.

Malah pemain berusia 31 tahun bertekad untuk meneruskan sentuhan jaringannya apabila bertemu Johor FC pada suku akhir pertama pada Jumaat ini.

Selain meningkatkan gandingannya bersama Bosko Balaban di jentera serangan, dia turut mahu memastikan episod disingkirkan Johor FC dalam saingan Piala FA tidak berulang.
“Setiap pasukan yang layak ke suku akhir tidak boleh dipandang rendah. Malah saya melihat Johor FC umpamanya mempunyai kemampuan dan kebolehan tersendiri apabila mampu mengikat LionsXII pada peringkat kumpulan selain mempunyai barisan pemain berpengalaman seperti dua bekas pemain kebangsaan, Eddy Helmi Abdul Manan dan Khairunisam Shahabudin.

“Paling penting adalah kami mencari gol awal bagi memastikan jaringan tempat lawan dapat dilakukan bagi memberikan kelebihan apabila beraksi di Stadium Shah Alam pada 26 September,” katanya.


mannsgor.

Tiada ulasan: