Isnin, Oktober 08, 2012

NGO bidas cara bank, institusi kewangan kutip hutang

KUALA LUMPUR: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membidas cara digunakan bank dan institusi kewangan memungut bayaran tertunggak daripada pengguna menerusi pihak ketiga yang bertindak seperti along. 

NGO berkenaan menerima aduan daripada pengguna bahawa mereka menerima ugutan menerusi panggilan telefon daripada syarikat atau ejen pemungut hutang yang dilantik bank. 
Penasihat Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Prof Datuk Hamdan Adnan, berkata bank dan institusi kewangan tidak wajar menggunakan pihak ketiga yang bertindak seperti along bagi memperoleh wang daripada pengguna. 




“Pihak bank sepatutnya tidak mengupah pihak seperti itu kerana ada pelbagai cara lain (untuk memungut bayaran tunggakan), seperti mengupah peguam dan sebagainya,” katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata, pelbagai peraturan dan undang-undang ditetapkan bagi pihak bank mengutip hutang daripada pengguna seperti yang digariskan dalam Akta Sewa Beli dan bukan menggunakan pihak ketiga yang bertindak dengan sewenang-wenangnya. 

“Tidak ada gunanya undang-undang, sekiranya perkara seperti ini gagal ditangani,” katanya. 

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr Maamor Osman pula meminta Bank Negara mengkaji semula mekanisme yang digunakan bank dan institusi kewangan untuk mengutip hutang daripada pengguna seperti penjadualan semula bayaran. “Pihak bank tidak wajar menggunakan pihak ketiga untuk mengutip hutang dengan membuat panggilan telefon mengugut pengguna,” katanya. 

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-pekerja Pengangkutan, Datuk Zainal Rampak, berkata beliau menerima aduan daripada pekerja bahawa mereka diganggu dengan panggilan telefon daripada syarikat pengutip hutang atau ejen yang dilantik bank apabila berlaku kelewatan dalam pembayaran semula hanya membabitkan satu atau dua ansuran saja. 

“Ada satu kes baru-baru ini apabila seorang pemegang kad kredit yang terlewat membuat bayaran RM7,000, diganggu berkali-kali oleh syarikat pengutip hutang dengan panggilan telefon tidak berhenti-henti dan ugutan untuk melelong rumahnya,” katanya. – Bernama



mannsgor

Tiada ulasan: