Isnin, Oktober 08, 2012

Pemungut hutang yang dilantik tak dibenar berkasar dengan pemiutang

KUALA LUMPUR: Pemungut hutang yang dilantik oleh institusi perbankan tertentu tidak boleh menggunakan kekerasan dan sering mengganggu pemiutang ketika menjalankan tugas, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung.

Beliau berkata perkara itu terkandung dalam garis panduan dan amalan pengutipan hutang yang adil yang perlu dipatuhi oleh setiap pemungut hutang yang dilantik.

"Institusi perbankan boleh menggunakan khidmat pemungut hutang, walaubagaimanapun, institusi itu perlu memastikan agar pemungut hutang yang dilantik mematuhi segala peraturan seperti yang ditetapkan dalam garis panduan yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia," katanya menjawab soalan Senator Dr M Malasingam pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Chor berkata selain tidak dibenar menggunakan kekerasan dan menganggu pemiutang, pemungut hutang perlu sentiasa mengamalkan tingkah laku yang beretika serta tidak dibenar membuat panggilan lebih tiga kali seminggu kepada pemiutang.

"Ini selaras dengan usaha Bank Negara Malaysia untuk memperkukuhkan lagi struktur pelindungan serta tahap profesionalisme proses pengutipan hutang," katanya.

Beliau berkata pemiutang boleh membuat aduan kepada institusi perbankan berkenaan sekiranya terdapat aduan terhadap tingkah laku pengutip hutang yang dilantik.

"Jika tidak berpuas hati dengan cara pengendalian institusi perbankan terbabit, maka aduan selanjutnya boleh dibuat kepada Bank Negara Malaysia," katanya. -


mannsgor

Tiada ulasan: