Isnin, April 15, 2013

Pilihan raya di Malaysia lebih kepada 'paksa raya'


SHAH ALAM: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata,  demokrasi negara ini bukannya mengamalkan sistem pilihan raya tetapi lebih kepada 'paksa raya' dalam membentuk kerajaan. Beliau yang berkata demikian pada program Bicara Cinta di Kompleks Karangkraf di sini, pagi ini.

Menurut beliau, Barisan Nasional (BN) mengamalkan sistem 'paksa raya' apabila tidak membenarkan Pakatan Rakyat khususnya PAS membuat penerangan di dalam media elektronik agar rakyat boleh menilai. "Kita tak diberi peluang langsung untuk membuat penerangan serta menyampaikan maklumat di dalam media elektronik agar rakyat boleh menilai apa yang kita jelaskan. "Bila ini berlaku rakyat dipaksa oleh mereka (BN) untuk terus mendengar apa mereka kata dan dipaksa memilih mereka, ini bukan pilihanraya tetapi paksa raya," jelas beliau.

Katanya lagi, sistem demokrasi negara adalah membenarkan rakyat membuat pilihan tetapi Umno memusnahkan demokrasi dalam mengekalkan pemerintahan mereka. Jelasnya lagi, PAS yang dipilih rakyat bagi membentuk sebuah kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawab, namun BN menafikan hak tersebut dengan menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang bertindak menerima peruntukan daripada Kerajaan Pusat. "Inilah BN mereka menafikan apa yang dipilih oleh rakyat apabila mewujudkan JPP di Kelantan.

"Mereka menerima segala bantuan yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat dan ini seolah-olah wujud dua kerajaan di Kelantan, kita sepatutnya menghormati kerajaan yang dipilih tetapi itu tidak berlaku di dalam BN," kata beliau lagi. Beliau turut memberitahu kehancuran demokrasi dalam penyampaian maklumat terus berlaku apabila media-media elaktronik milik BN hanya memaparkan keburukan pimpinan Pakatan daripada menyiarkan kebaikan yang dilakukan.

"Mereka menyiarkan keburukan tentang Nik Aziz yang belum lagi sahih, tetapi mereka tidak menyiarkan kebaikan yang dilakukan oleh Nik Aziz seperti hari ini," katanya secara berseloroh. Tuan Guru Nik Aziz yang turut meminta agar rakyat membuat pilihan mengikut kehendak Islam pada pilihanraya nanti bagi memastikan pemimpin yang dipilih adalah dari kalangan mereka yang berkualiti serta beramanah.

HarakahDaily…

mannsgor