Jumaat, Februari 13, 2009

Pemimpin dan Dosa


Dalam situasi politik di negara kita tika ini saya amat tertarik dengan tulisan Imam Adz-Dzahabi atau nama sebenarnya Syamsuddin Muhamad Bin Utsman dalam bukunya dosa-dosa besar, ia memuatkan 70 perkara yang membawa kepada terjadinya dosa besar. Diantara yang menarik perhatian saya ialah, pemimpin penipu dan penganiaya rakyat adalah suatu dosa besar.

Saya melihat sebahagian pemimpin kita yang sedia ada waktu ini semacam terlupa pada apa itu dosa. Umpamanya ketika akan berlakunya pilihanraya, masing-masing bakal pemimpin begitu gairah berkempen dengan taburan janji segala, sanggup turun sawah, duduk bersila, minum dekat warong kopi dan pelbagai lagi yang dibuat 5 tahun sekali. Lepas pada itu wassalam la jawabnya. Mereka selepas berjaya akan lupa segala janji, apa yang ada dibenak mereka adalah kenikmatan untuk diraikan bersama-sama rakan kroni. Saya tidak menyatakan semuanya yang sebegitu tetapi sebahagian besarnya ya.

Dalam kegairahan para pemimpin yang telah dipilih oleh rakyat menikmati kemenangan diharapkan janganlah lupa pada tanggungjawab yang diamanahkan, janji yang dijanjikan dan berlaku adil pada setiap keputusan. Ingatlah terutama pada pemimpin-pemimpin yang beragama Islam bahawasanya kalau mereka tidak berlaku jujur, tidak amanah, tidak adil, menipu mahupun menganiaya rakyat maka neraka la tempat mereka.

Banyak ayat Al-Quran dan Hadis menceritakan perkara tersebut.

Diantarnya Allah berfirman;

Sesungguhnya dosa itu atas orang-orang yang berbuat zalim kepada manusia dan melampaui batas di muka bumi tanpa hak mereka itu mendapat azab yang pedih (Asy-Syura:42)

Dan janganlah sekali-kali kamu (Muhammad) mengira, bahawa Allah lalai dari apa yang diperbuat orang-orang zalim. Sesungguhnya Allah memberi tangguh kepada meraka sampai hari yang waktu itu mata (mereka) terbelalak. Mereka datang bergegas-gegas dengan mengangkat kepalanya sedang, mata mereka tidak berkedip-kedip dan hati mereka kosong. (Ibrahim: 42-43)

Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan munkar mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu. (Al-Maidah: 79)

Rasulullah SAW bersabda;

Barang siapa yang menipu kita, maka ia bukan termasuk golongan kita. (Shahih. Diriwayatkan oleh Ahmad Muslim, Abu Awanah, Abu Dawud, At-Tirmidzi dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah)

Barang siapa diangkat oleh Allah untuk memimpin rakyatnya kemudian dia tidak mencurahkan kesetiannya nescaya Allah mengharamkan syurga baginya.
(Hadis riwayat Bukhari)

Manusia yang berat siksanya pada hari kiamat adalah penguasa yang sewenang-wenang. (Diriwayat oleh Abu Ya'la (1083), Ath-Thabrani Ausath(1618,4633), Ash-Shaghir (1/237), Abu Nu'aim(10/114), dari Abu Said dan dishahihkan oleh Asy-Syaikh dalam shahih Al-Jami(1001).

Diantara doa Rasulullah SAW;

Ya Allah barangsiapa yang mengurus urusan umatku ini lalu ia mengasihi mereka, maka kasihilah ia, dan siapa yang menyusahkan mereka maka susahkan la ia. (Diriwayat oleh Ahmad(6/93), Muslim(1828), Ibnu Hibban(553) dan Al-Baghawi(2471) dari Aisyah.

Itulah diantara ayat Al-Quran, hadis dan doa Rasullulah saw yang sempat saya titipkan untuk menerangkan bahawa betapa besarya dosa yang akan dipikul oleh pemimpin-pemimpin yang berlaku zalim dan menganiaya rakyatnya. Oleh itu para pemimpin sekalian janganlah kamu hanya memikirkan keuntungan dan kebendaan sehingga melalaikan tanggungjawab kamu terhadap rakyat kerana dosa yang menanti kamu adalah dosa besar. Untuk rakyat pula ingatlah jangan disokong pemimpin yang sebegitu, kita mempunyai segala yang dikurniakan Allah untuk melihat, memikir dan memilih pemimpin yang betul. Kita perlu berubah untuk kebaikan bersama. Wallahualam.(manns'gor)


Rujukan:
Dosa-dosa besar
Imam Adz-Dzahabi

Tiada ulasan: