Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi
hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.
Berdasarkan konsep rezeki yang telah
diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi
rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan
akhirat. Di antaranya:
1. Menyempatkan diri beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya,
seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:
"Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk
menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika
tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak
menutup kefakiranmu." (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim
dari Abu Hurairah r.a.)
2. Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa
seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan
pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda
Nabi s.a.w.:
"Barang siapa memperbanyak istighfar maka
Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala
masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka." (Riwayat
Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas
r.a.)
3.Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat
dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi
s.a.w.:
"… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya
rezeki kerana dosa yang dibuatnya." (Riwayat at-Tirmizi)
4. Sentiasa ingat Allah
Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan
kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman.
Firman-Nya:
"(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka
menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati
Allah hati menjadi tenteram." (Ar-Ra'd: 28)
5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w.
berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah
berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w.
juga bersabda:
"Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka
kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya." (Riwayat Abu
Ya'ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya
rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:
"Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada
kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya."
(Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini
termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan
fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:
"Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi
rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu." (Riwayat
Bukhari)
7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan
rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:
"Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka
Allah akan menunaikan hajatnya…" (Riwayat Muslim)
8. Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat
atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan,
kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya
semua hajat. Wallahu a'lam.
9. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata:
"Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya
kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang
lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati,
melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya."
10. Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan
aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang
berkat.
11. Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda:
"Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka
hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya." (Riwayat Bukhari)
12. Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai
beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w.
bersabda:
"Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan
memurahkan rezeki." (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
13. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi
s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
"Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy,
yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya.
Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah
membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan
baginya." (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)
14. Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki,
menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya
dimakbulkan Allah .
15. Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia
(aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis
qudsi:
"Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat
pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan
keperluanmu pada petang harinya." (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
16. Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya
adalah kufur nikmat. Allah berfirman:
"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku
kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat
keras." (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: "… dan Kami akan memberi
balasan kepada orang-orang yang bersyukur." (Ali Imran: 145)
17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma'ul husna selain menenangkan,
menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan
ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman
dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara
konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab
Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi
sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca "Ya
Allah ya Fattah" berulang-ulang, diiringi doa: "Ya Allah , bukalah
hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah
ya 'Alim." Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi'ah
setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a'lam.
18. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan
mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita
meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih
dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang
tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya
saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa
kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran,
hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak
sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran
yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang
haram, dan sebagainya.
20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah .
Firman-Nya:
"Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan
(keperluannya) ." (At-Thalaq: 3)
Nabi s.a.w. bersabda:
"Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal,
nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan
petang hari telah kenyang." (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu
Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa.
Dengan takwa, Allah akan beri "jalan keluar (dari segala perkara yang
menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di
hatinya." (At-Talaq: 2-3)
Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang
sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi
sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan
keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.
Wallahualam.
mannsgor..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan