Selasa, Julai 14, 2009

Manek Urai



Hari ini 14 Julai 2009, bagi penduduk Manai Urai merupakan hari untuk mereka menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi untuk melantik wakil rakyat yang baru. Hari ini juga merupakan cuti umum, jadi perkiraan saya tiadalah masalah untuk pengundi untuk membuang undi walaupun ia dijalankan pada hari biasa.

Pada para pengundi diharapkan dapat menilai yang mana kaca dan yang mana intan. Sepanjang kempen para pengundi sudah mendengar dan melihat pelbagai janji dan aksi untuk mereka diperdendangkan. Sejarah banyak mengajar oleh itu fikirkanlah yang terbaik dalam membuat pilihan.

Saya juga ada mengikuti perkembangan kempen di Manik Urai. Saya kurang bersetuju dengan sesetengah parti politik yang berkempen dengan janji yang semacam ugutan. Pada pengamatan saya sebagai wakil rakyat tak sepatutnya memilih bulu dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab. Sebagai rakyat mereka mempunyai cita rasa dan pendapat jangan dipaksa sebegitu rupa dalam amalan pendemokrasian.

Jam 8mlm ini kita akan dapat mengetahui keputusan penuh pilihanraya di Manik Urai. Saya berharap agar mereka yang betul-betul tulus ikhlas dalam menjalankan tanggungjawab akan mendapat kemenangan. Semoga Manik Urai dilimpahi kemakmuran.(mannsgor)

Ahad, Mei 10, 2009

POLITIK PERAK 2

Seperti yang diramalkan, persidangan dun Perak kecoh dengan pelbagai insiden yang memualkan. Saya tidak beberapa pandai dalam soal perlembagaan, tapi apa yang berlaku di sidang tersebut amat mengejutkan saya. Ianya umpama rantai besi dimakan bubuk.

Persoalannya jelas terjawab dengan berlakunya insiden-insiden di dalam dewan. Nampak sangat ada yang begitu kemaruk menagih jawatan. Perkara-perkara pokok yang sepatut dilakukan tidak diendahkan. Kenapa dibiarkan perkara sebegitu berlaku? kenapa raih pekung ke dada?

Saya tetap merasakan kemelut di Perak harus diselesaikan dengan menyerahkannya kembali kepada rakyat. Biar rakyat menentukan. Pada hemat saya rakyat sekarang tahu untuk menilai yang mana wakil yang mereka perlukan. Apa yang perlu ditakutkan kerana ia mencerminkan kedemokrasian dan keadilan.

Saya juga berharap dan mendoakan agar kemelut yang berlaku dapat diatasi dengan kebijaksanaan dan keadilan, jangan dilacurkan apa yang telah ditermaktubkan. Jangan padang rendah suara rakyat, kerana suara rakyat suara keramat.(mannsgor)

Rabu, Mei 06, 2009

POLITIK PERAK


Kemelut politik Perak pada pandangan saya nampaknya semakin tidak keruan. Perjalanan pentadbiran kerajaan juga tidak dapat berjalan dengan lancar. Banyak perkara yang menjadi pertikaian. Urusan mahkamah juga belum ada penghujung. Yang mana satu yang betul masih menjadi tanda tanya. Kondisi ini umpama gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati ditengah-tengah.

Dalam kondisi ini pada hemat saya sepatut mereka-mereka yang bertelagah perlu memulangkan kembali hak-hak tersebut pada mahkamah rakyat marhaen. Biarlah rakyat marhaen menentukan siapa yang betul, siapa yang berhak dalam memikul tanggungjawab tersebut. Kalau tidak perkara ini akan berlarutan tanpa kesudahan.

Kenapa perlu ada pertikaian yang akan menjejaskan perjalanan pentadbiran. Sepatutnya mereka-mereka yang bertelagah memikirkan rakyat marhaen, bukan kesinambungan politik mereka. Pada pandangan saya jikalau mereka ikhlas memperjuangkan nasib-nasib rakyat marhaen tidak akan berlaku apa yang sudah terjadi.

Walau bagaimanapun keputusan perlu dicari untuk melicinkan perjalanan pentadbiran. Secara jujurnya saya merasakan dengan menyerahkan kembali kepada rakyat untuk mencari keputusan adalah yang terbaik. Biarlah rakyat membuat keputusan, membuat pengadilan yang mana satu menjadi pilihan. (mannsgor)

Jumaat, Mei 01, 2009

HARI PEKERJA


Tanggal 1 Mei merupakan hari yang di nanti-nantikan oleh para pekerja untuk di raikan atau di martabatkan walau seketika oleh para majikan. Setelah bertungkus lumus seharian selama setahun, penantian itu tiba jua. Selamat hari pekerja.

Pekerjaan merupakan suatu perkara yang wajib kita lakukan dalam apa jua situasi untuk mendapat apa yang dinamakan rezeki dalam meneruskan penghidupan. Justeru itu apa pun jua profesionnya sama ada golongan profesional ataupun tidak ia tetap dinamakan pekerjaan dan pekerja.

Pekerja pula adalah manusia yang menjalankan atau melakukan sesuatu untuk mendapat sesuatu yang di pelankan oleh majikan. Golongan pekerja bukanlah hamba abdi, ini adalah peringkatan buat majikan yang mungkin terlepas pandang tentang status ini. Mungkin kelebihan majikan adalah kerana mereka ini berwang tetapi masih mahluk yang bernama manusia. Majikan dan pekerja seharusnya seiringan dalam mendapat bahagian masing-masing.

Para pekerja juga diharap dapat menjalankan tanggungjawab dengan tulus ikhlas bagi memastikan produktiviti meningkat untuk kemajuan bersama kerana kalau majikan bermasalah para pekerja juga secara tak langsung akan menerima masalah juga. Justeru itu semoga dengan ada hari yang dinamakan hari pekerja ini dapat mengingatkan kita betapa pentingnya kita bersama majikan untuk meneruskan kesinambungan penghidupan dan masa depan. (mannsgor)

Ahad, April 26, 2009

SELANGOR JUARA


Pasukan Selangor berjaya mendapatkan piala kedua selepas piala sumbangsih dengan bergaya menewaskan pasukan Kelantan menerusi sepakan penalti 4-1. Perlawanan seperti dijangka, berlangsung dengan hebat.

Stadium Bukit Jalil juga menerima lebih 85,000 kehadiran penyokong kedua belah pasukan. Ini menunjukan bahawasanya bolasepak Malaysia masih ada pengikutnya.

Permulaan perlawanan yang dimulakan pasukan Selangor, nampak seimbang dan berhati-hati oleh kedua pasukan. Masing-masing mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol cuma penyudahnya yang masih dikekang penjaga gol dan palang gol.

Perlawanan berkesudahan dengan tanpa jaringan setelah tamat 90 minit. Masa tambahan dimulakan, minit awal pasukan Kelantan berjaya menjaringkan gol menerusi Farhan melalui tandukan yang cantik hasil lambungan ketua pasukan Kelantan Piya. Selangor yang tersentak dengan gol awal Kelantan berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan ketua pasukan Selangor Amri Yahya yang menanduk masuk hasil hantaran D.Surendren lima minit selepas pasukan Kelantan menjaringkan gol.

Walau bagaimanapun kedua pasukan gagal menjaringkan sebarang gol sehingga masa tambahan tamat. Untuk mencari pemenang tendangan penalti akan disempurnakan oleh kedua pasukan. Selangor berjaya menyempurnakan keempat-empat sepakan manakala Kelantan hanya berjaya satu dari tiga sepakan. Manakala kapten Selangor Amri Yahaya dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan. (mannsgor)

Ahad, April 19, 2009

Piala F.A


Malam kelmarin saya berkesempatan ke stadium Shah Alam untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua Piala F.A antara Selangor dan Perlis. Seperti selalunya saya akan ditemani sahabat saya En. Fadhil.

Kami meramalkan perlawanan tersebut pasti menarik setelah kedua pasukan terikat pada perlawanan peringkat pertama di Kangar 1-1. Secara matematiknya pasukan Selangor mempunyai kelebihan gol yang dijaringkan di tempat lawan.

Tepat jam 8.45pm perlawanan dimulakan oleh pasukan Selangor yang dianugerahkan sepak mula oleh pengadil. Perlawan berlangsung hebat apabila kedua pasukan saling serang menyerang. Selangor berjaya menjaringkan gol pada minit ke15 menerusi tandukan terbang Amri Yahya hasil hantaran Rudee Ramli. Walau bagaimanapun pasukan Perlis berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke17 menerusi sepakan leret Azi Shahril Azmi diluar kotak penalti. Separuh masa pertama ditamatkan dengan kedudukan terikat 1-1. Secara keseluruhan pasukan Selangor menguasai permainan.

Diseparuh masa kedua pasukan Selangor mempunyai beberapa peluang keemasan untuk menambah bilangan gol tetapi dinafikan tiang gol. Pada pengakhiran babak separuh masa kedua kapten pasukan Selangor Amri Yahya sekali lagi mengamatkan stadium Shah Alam dengan tandukan kebelakang yang terus menerjah kejaring gol pasukan Perlis hasil sepakan sudut D.Surendren. Gol diminit terakhir tersebut terus menutup ruang pasukan Perlis untuk melangkah keperlawanan akhir.

Secara argreget pasukan Selangor menang dengan 3-2. Amri Yahya dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan tersebut. Keseluruhan permainan dikuasai pasukan Selangor. Saya berharap agar pasukan Selangor mengekalkan momentum aksi sebegini dalam melayani pasukan Kelantan dalam perlawan akhir pada 25 April ini.(mannsgor)

Selasa, April 14, 2009

KELANCUNGAN

Kelmarin

Ada orang berkata

Terimalah aku
Calonlah aku
Pilihlah aku
Undilah aku

Hari ini

Ada orang ketawa

Aku menang
Aku berjaya
Aku berkerjaya
Aku Yang Berhormat

Esok

Ada orang mengeluh

Mana janji manis mu
Mana tanggungjawab mu
Mana keikhlasan mu
Mana kenikmatan kata-kata kelmarin mu

Adakah semuanya suatu kelancungan..
(mannsgor)