1951
Kemunculan
PAS dalam sejarah politik tanah air telah bermula semenjak 23 Ogos 1951 apabila
para ulamak yang bersidang di Kuala Lumpur bersetuju menubuhkan sebuah
persatuan yang dinamakan Persatuan Ulamak Se-Malaya. Nama persatuan ini
kemudiannya diubah menjadi Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) pada 24 November
1951, dalam satu persidangan ulamak Malaya di Bagan Tuan Kecil (Butterworth),
Seberang Prai. Itulah sekelumit permulaan sejarah PAS yang diasaskan oleh para
ulamak yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah pertubuhan politico-dakwah
yang penting di negara ini. Penglibatan dan sumbangan PAS dalam politik negara
bermula sebaik sahaja ia ditubuhkan walaupun ramai pengkaji mengatakan PAS
hanya menyertai politik menjelang pilihan raya 1955.
Kemunculan PAS ini dikatakan
hasil daripada silang pengaruh yang berlaku antara beberapa gerakan Islam yang
lebih awal seperti Ikhwanul Muslimun di Mesir, Masyumi di Indonesia dan Jamaat
Islami di Pakistan. Ketiga-tiga pengaruh ini telah menyerap masuk ke Tanah Melayu
melalui para ulamak yang belajar di Mesir, Mekah, India dan Indonesia. Kesedaran
yang awal ialah para ulamak atau umat Islam memerlukan sebuah pertubuhan atau
badan yang boleh mewakili mereka dalam semua aspek kehidupan terutama dalam
keadaan Tanah Melayu sedang dijajah oleh British ketika itu. Longgokan ksedaran
ini kemudiannya menghasilkan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 1947
diikuti oleh Hizbul Muslimin pada 1948 kesan daripada usaha gigih Dr
Burhanuddin al-Helmy dan Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Walau bagaimanapun, gerakan
Islam yang berpusat di Gunung Semanggol ini terkubur ekoran penguatkuasaan
Ordinan Darurat pada Jun 1948.
Para ulamak mengambil beberapa sikap selepas tragedi darurat ini.
Ada yang ’tawakuf’ daripada politik kepartian tetapi menggerakkan kesedaran
rakyat melalui institusi pendidikan atau media massa. Dalam fraksi yang lain,
para ulamak telah mengambil sikap untuk menyertai parti nasionalis UMNO bagi
membolehkan isu-isu umat Islam diperkatakan. Beberapa tokoh Hizbul Muslimin
seperti Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan, seorang lepasan Maahad Ihya Assyariff,
Gunung Semanggol telah menyertai UMNO pada 1950 dan dilantik mengetuai Bahagian
Agama dan Pelajaran UMNO. Bahagian ini kemudiannya mengaturkan beberapa
persidangan untuk membolehkan ulamak menubuhkankan persatuan. Dalam tulisannya,
”Ulamak Malaya Belum Bersatu dan Belum Punya Persatuan”, Haji Ahmad Fuad
menyifatkan kedudukan ulamak ketika itu umpama sampah yang tidak dihargai
kerana tiada kekuatan. Lebih-lebih lagi ketika itu ulamak telah muak dengan
sikap UMNO yang mengabaikan isu pemurtadan Natrah, pengajuran judi loteri, fun
fair, kaberat dan lain-lain. Dalam satu persidangan ulamak yang dipimpin oleh
Sheikh Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang di Seberang Perai pada 1951, mereka
telah mengeluarkan fatwa mengharamkan judi loteri anjuran UMNO.
Dalam konflik pelbagai yang
dihadapi oleh para ulamak dan situasi politik semasa yang masih tidak menuju
kepada jalan Allah itu, maka para ulamak membuat pendirian untuk menubuhkan
PAS. Haji Ahmad Badawi, seorang ulamak di Seberang Perai telah mengeluarkan
satu manifesto yang dinamakan ’Manifesto al-Badawi’ dengan tema ”Ulamak ke
Jalan Allah” bagi menyambut persidangan untuk menubuhkan PAS pada 24 November
1951. Mereka memutuskan supaya PAS menjadi sebuah pertubuhan politik Islam yang
memperjuangkan kemerdekaan melalui landasan demokrasi ke arah membentuk sebuah
negara yang diredhai Alah. Para ulamak menolak bentukbentuk perjuangan yang
diasaskan berdasarkan ideologi ciptaan manusia yang dibawa masuk oleh penjajah.
Semenjak itulah, PAS muncul
sebagai sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan negara,
kemudian menyertai pilihan raya demi pilihan raya. PAS juga menggunakan
pelbagai saluran untuk menyampaikan mesej dakwahnya termasuk membentuk beberapa
kerjasama politik dengan orang bukan Islam semenjak 1953. Di bawah kepemimpin
Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dan Dr Haji Abbas Alias, PAS bercakap soal
kemerdekaan yang boleh ditegakkan hukum Islam. PAS menolak kerakyatan jus soli
yang merugikan peribumi dan PAS mendesak supaya Islam dijadikan dasar negara
yang merdeka.
Apabila Dr Burhanuddin al-Helmy
mengambil alih kepemimpinan PAS pada akhir 1956, PAS mula memperincikan
sikapnya terhadap kemerdekaan yang hendak dicapai yang dianggap ’masih kosong’
dari matlamat sebenar kerana mengabaikan kebangsaan Melayu dan ketuanan Islam1.
Hal ini tergambar daripada hasrat Dr Burhanuddin,
”Dalam
perjuangan kita (PAS) bagi mencapai kemerdekaan, kita telah dan terus menerus
memperjuangkan Melayu itu sebagai kebangsaan bagi negara Tanah Melayu ini
dengan bertapak di atas asas ideologi Islam yang maha suci”2.
|
Penyertaan PAS dalam pilihan raya 1959 telah memberikan kejayaan besar
apabila Terengganu dan Kelantan berjaya dikuasai. PAS membentuk kerajaan yang
dipimpin oleh Mohd Daud Abdul Samad di Terengganu dan Ustaz Ishak Lotfi Omar di
Kelantan sebagai Menteri Besar. PAS memulakan langkah sebagai kerajaan di dua
negeri Pantai Timur untuk menterjemahkan ideologi perjuangannya yang berasaskan
al-Quran dan Sunnah. Namun begitu, kerajaan PAS di Terengganu telah dijatuhkan
pada Oktober 1961 hasil permainan politik kotor Perikatan. Di Kelantan, PAS berjaya
bertahan sehingga BN mendaruratkan Kelantan pada akhir 1977. Dalam konteks ini,
PAS-lah satu-satunya pembangkang yang diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk
memerintah kerajaan negeri di negara ini.
Selepas kejatuhan Terengganu pada hujung 1961, PAS mulai menerima
tekanan-tekanan politik seperti penyalahgunaan ISA, penahanan Dr Burhanuddin
al-Helmy diikuti oleh sekatan politik, keganasan Pemuda Tahan Lasak Umno dan
beberapa siri pembunuhan politik. Perjuangan PAS untuk memartabatkan kebangsaan
Melayu Raya berasaskan Islam telah dijadikan kambing hitam dalam Konfrantasi
Indonesia pada 1963. PAS menolak pembentukan Malaysia kerana mahukan sebuah
negara Melayu yang lebih besar meliputi seluruh alam Melayu dibentuk. Dalam
masa yang sama Umno mencanangkan isu-isu perkauman yang akhirnya membawa kepada
beberapa siri perbalahan kaum di Pulau Pinang, Perak dan Singapura antara 1964
hingga 1969, dan kemuncaknnya tercetus Tragedi 13 Mei 1969 yang mengubah
landskap politik negara. Selepas tragedi ini, Datuk Mohd Asri Muda yang
memangku jawatan Yang Dipertua Agung PAS semenjak 1965 telah dilantik sebagai
Yang Dipertua Agung PAS pada 1971.
PAS memasuki era baru dalam
politik negara apabila PAS mula meneroka kerjasama dengan Umno bagi menjamin
kestabilan politik negara, mengekalkan ketuanan Melayu dan menyerapkan Islam
dalam pemerintahan. PAS menyertai beberapa parti lain telah membentuk Kerajaan
Campuran PAS-Perikatan pada 1973, kemudian sama-sama mengasaskan Barisan
Nasional (BN) pada 1974. BN mencapai kejayaan besar dalam pilihan raya 1974 dan
PAS sendiri telah berjaya menembusi ruang-ruang yang baru sehingga membolehkan
Islam di sampaikan ke corong telinga rakyat dengan lebih berkesan. Walau
bagaimanapun, keterbukaan PAS dalam membentuk kestabilan politik negara telah
disalahgunakan oleh musuh-musuh politiknya dengan melaga-lagakan pimpinan PAS
sehingga terjadi krisis politik Kelantan pada 1977. Akibatnya, PAS telah
menolak Akta Darurat (Kelantan) 1977 yang menyebabkan PAS bukan sahaja
disingkirkan dari BN, tetapi turut kehilangan Kelantan.
Setelah melalui tempoh yang
mencabar antara 1978 hingga 1982 di mana PAS terpaksa berhadapan dengan
perpecahan, kehilangan kuasa pemerintahan, tekanan ISA dan krisis kepemimpinan,
akhirnya PAS telah mengasaskan kepemimpinan ulamak pada Oktober 1982. Tuan Haji
Yusof Rawa telah diangkat untuk memimpin PAS bagi menggantikan Datuk Mohd Asri
yang meletakkan jawatan. Permulaan era kepemimpinan ulamak memperlihatkan PAS
kembali kepada asas perjuangannya untuk mendaulatkan Islam dan memberikan
penekanan terhadap kwajipan tersebut. Gerakan dakwah PAS berkembang dengan
lebih tersusun melalui pendekatan haraki dan dalam masa yang sama PAS terus
membina jambatan dakwah dengan non-Muslim sehingga terbentuk Majlis Perundingan
Cina (CCC). Di sudut yang lain, pendekatan PAS telah disambut oleh kerajaan
dengan melaksanakan juzuk tertentu daripada Islam seperti Dasar Penerapan
Nilai-nilai Islam, Dasar Bersih, Cekap dan Amanah serta penubuhan Bank Islam,
Universiti Islam Antarabangsa dan lain-lain.
Paling mencabar pada era kepemimpinan ulamak ialah beberapa siri
penyalahgunaan ISA yang berlaku pada 1984, 1987 dan 1989, ketimbang dengan
desakan PAS untuk diadakan Debat Terbuka PAS-UMNO pada 1984. Dalam kemelut ini,
tercetus pula tragedi Memali pada November 1985 yang mengorbankan 14 orang ahli
PAS. Tetapi, pada 1987, UMNO pula menghadapi krisis kepemimpinan sehingga parti
tersebut diharamkan. Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor
memanfaatkan kesempatan ini dengan mewujudkan kerjasama politik dengan serpihan
Umno, Semangat 46 yang membolehkan PAS berkuasa semula di Kelantan. Ketua Dewan
Ulamak PAS (kemudian Mursyidul Am PAS), Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
diberikan kepercayaan untuk memimpin kerajaan Kelantan semenjak 1990. Dengan
dasar ’Membangun Bersama Islam’, PAS berjaya melaksanakan tanggungjawabnya
untuk menegakkan hukum Allah yang berada dalam bidang kuasana.
Pada 1996, PAS mula berkrisis dengan
Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) yang menyebabkan Angkatan Perpaduan Ummah
(APU) yang dibentuk pada 1989 berpecah. Dua tahun kemudian, Umno sekali lagi
menghadapi perpecahan ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang
menyebabkan wujudnya gerakan Reformasi. PAS telah memimpin Majlis Gerakan
Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) bagi menuntut keadilan kepada rakyat, kemudian
menubuhkan Barisan Alternatif (BA) pada 1999
Melalui BA, PAS berjaya merampas semula
Terengganu. Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
diamanahkan untuk mengetuai kerajaan Terengganu sehingga 2004. Selepas
pencapaian lemah PAS pada 2004 kerana momentum Perdana Menteri baru, PAS
bangkit semula pada 2008 dengan mengetuai tiga kerajaan negeri dan turut serta
dalam kerajaan di Selangor. Kini, PAS dilihat sebagai pencabar utama Umno dalam
menguasai politik orang Melayu
Sepanjang
tempoh 1951-2008 ini, PAS telah dipimpin oleh tujuh orang Yang Dipertua
Agung/Presiden iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan (1951-1953), Dr Haji
Abbas Alias (1953-1956), Profesor Dr Burhanuddin al-Helmy (1956-1969), Datuk
Mohd Asri Muda (1969-1982), Tuan Haji Yusof Rawa (1982-1988), Dato’ Fadzil Mohd
Noor (1988-2002) dan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (2002 hingga
sekarang).
Para pengkaji yang menganalisis perkembangan PAS
ini mengatakan PAS telah mengalami empat jenis kepemimpinan iaitu kepemimpinan
ulamak tradisi (1951-1956), kepemimpinan nasionalis kiri (1956-1969),
kepemimpinan nasionalis kanan (1969-1982) dan kepemimpinan ulamak haraki
(1982-sekarang)3. Dalam pada itu juga, mereka mengatakan PAS telah melalui
empat tahap perkembangan iaitu tahap kemunculan (1951-1959), tahap kebangkitan
(1959-1973), tahap kemuncak (1973-1977), tahap kejatuhan (1977-1990) dan tahap
kebangkitan semula (1990-sekarang)4. Dari sudut pembinaan ideologi perjuangan
PAS, dikatakan berlaku tiga fasa iaitu fasa penubuhan dan pembentukan ideologi
(1951-1958), fasa pencernaan ideologi (1958-1982) dan fasa pengukuhan idelogi
(1982-1995)5.
mannsgor
Tiada ulasan:
Catat Ulasan