Ahad, April 26, 2009

SELANGOR JUARA


Pasukan Selangor berjaya mendapatkan piala kedua selepas piala sumbangsih dengan bergaya menewaskan pasukan Kelantan menerusi sepakan penalti 4-1. Perlawanan seperti dijangka, berlangsung dengan hebat.

Stadium Bukit Jalil juga menerima lebih 85,000 kehadiran penyokong kedua belah pasukan. Ini menunjukan bahawasanya bolasepak Malaysia masih ada pengikutnya.

Permulaan perlawanan yang dimulakan pasukan Selangor, nampak seimbang dan berhati-hati oleh kedua pasukan. Masing-masing mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol cuma penyudahnya yang masih dikekang penjaga gol dan palang gol.

Perlawanan berkesudahan dengan tanpa jaringan setelah tamat 90 minit. Masa tambahan dimulakan, minit awal pasukan Kelantan berjaya menjaringkan gol menerusi Farhan melalui tandukan yang cantik hasil lambungan ketua pasukan Kelantan Piya. Selangor yang tersentak dengan gol awal Kelantan berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan ketua pasukan Selangor Amri Yahya yang menanduk masuk hasil hantaran D.Surendren lima minit selepas pasukan Kelantan menjaringkan gol.

Walau bagaimanapun kedua pasukan gagal menjaringkan sebarang gol sehingga masa tambahan tamat. Untuk mencari pemenang tendangan penalti akan disempurnakan oleh kedua pasukan. Selangor berjaya menyempurnakan keempat-empat sepakan manakala Kelantan hanya berjaya satu dari tiga sepakan. Manakala kapten Selangor Amri Yahaya dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan. (mannsgor)

Ahad, April 19, 2009

Piala F.A


Malam kelmarin saya berkesempatan ke stadium Shah Alam untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua Piala F.A antara Selangor dan Perlis. Seperti selalunya saya akan ditemani sahabat saya En. Fadhil.

Kami meramalkan perlawanan tersebut pasti menarik setelah kedua pasukan terikat pada perlawanan peringkat pertama di Kangar 1-1. Secara matematiknya pasukan Selangor mempunyai kelebihan gol yang dijaringkan di tempat lawan.

Tepat jam 8.45pm perlawanan dimulakan oleh pasukan Selangor yang dianugerahkan sepak mula oleh pengadil. Perlawan berlangsung hebat apabila kedua pasukan saling serang menyerang. Selangor berjaya menjaringkan gol pada minit ke15 menerusi tandukan terbang Amri Yahya hasil hantaran Rudee Ramli. Walau bagaimanapun pasukan Perlis berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke17 menerusi sepakan leret Azi Shahril Azmi diluar kotak penalti. Separuh masa pertama ditamatkan dengan kedudukan terikat 1-1. Secara keseluruhan pasukan Selangor menguasai permainan.

Diseparuh masa kedua pasukan Selangor mempunyai beberapa peluang keemasan untuk menambah bilangan gol tetapi dinafikan tiang gol. Pada pengakhiran babak separuh masa kedua kapten pasukan Selangor Amri Yahya sekali lagi mengamatkan stadium Shah Alam dengan tandukan kebelakang yang terus menerjah kejaring gol pasukan Perlis hasil sepakan sudut D.Surendren. Gol diminit terakhir tersebut terus menutup ruang pasukan Perlis untuk melangkah keperlawanan akhir.

Secara argreget pasukan Selangor menang dengan 3-2. Amri Yahya dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan tersebut. Keseluruhan permainan dikuasai pasukan Selangor. Saya berharap agar pasukan Selangor mengekalkan momentum aksi sebegini dalam melayani pasukan Kelantan dalam perlawan akhir pada 25 April ini.(mannsgor)

Selasa, April 14, 2009

KELANCUNGAN

Kelmarin

Ada orang berkata

Terimalah aku
Calonlah aku
Pilihlah aku
Undilah aku

Hari ini

Ada orang ketawa

Aku menang
Aku berjaya
Aku berkerjaya
Aku Yang Berhormat

Esok

Ada orang mengeluh

Mana janji manis mu
Mana tanggungjawab mu
Mana keikhlasan mu
Mana kenikmatan kata-kata kelmarin mu

Adakah semuanya suatu kelancungan..
(mannsgor)

Rabu, Mac 25, 2009

NASIB KITA



Situasi politik negara kita nampaknya terus berkecamuk. Pelbagai berita yang mengejutkan silih berganti. Apakah kesudahannya...apakah senarionya...apakahh kebaikannya kepada kita sebagai rakyat marhaen?. Saya melihat kekusutan politik negara kita terus menerus kusut dengan pelbagai permasalahan yang dicipta pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli politik itu sendiri. Kerakusan dan kegairahan mereka dalam mendapatkan kedudukan amat ketara dilihat. Walaupun tidak semuanya begitu tetapi majorita lebih cenderung begitu.

Mereka tidak lagi memikirkan tentang matlamat, tujuan, falsafah mahupun tanggungjawab asal yang perlu mereka tanggung sebagai pemimpin dan ahli politik. Tidak seperti zaman kita menuntut kemerdekaan atau di zaman kita menentang penjajah, mereka para pemimipin begitu ikhlas dalam perjuangan tapi di zaman IT ini keikhlasan nampaknya terpinggir jauh. Kebendaan nampaknya menjadi pokok segalanya.

Saban hari kita mendengar pelbagai berita tentang salah guna kuasa, rasuah dan permasalahan lain yang dihadapi para pemimpin dan ahli politik kita. Saman menyaman dan laporan polis dah macam perkara rutin. Dek kerana permasalahan mereka...adakah tanggungjawab mereka kepada kita akan terlaksana?.

Kita rakyat marhaen ini perlukan pembelaan dan keadilan dalam meneruskan penghidupan. Janganlah disebabkan mereka-mereka ini kita berada di ruang kesempitan. Oleh itu saya berpendapat kita harus meneliti setelitinya dalam memilih pemimpin yang akan menjadi pemimpin kita...jangan kita mengambil mudah dalam perkara ini kerana ia secara langsungnya akan melibatkan kita.

Sebenarnya banyak ruang, peluang ataupun maklumat yang boleh kita perolehi dalam kita mencongakakan pemimpin pilihan kita. Di zaman IT ini kita ada pelbagai maklumat yang boleh kita rumpunkan sebagai pedoman dalam membuat pilihan. Justeru itu buatlah pilihan terbaik dalam pilihan akan datang untuk menjamin kesejahteraan perjalanan hidup kita. Fikir-fikirkanlah.(mannsgor)

Selasa, Mac 17, 2009

HJ. MAT HASSAN BIN PANGLIMA MUNAS

Biodata;

Nama : Hj. Mat Hassan Bin Panglima Munas
Tarikh Lahir : 1850
Tempat Lahir : Kampung Saring Daerah Jeram, Kelantan
Tarikh Kematian : 1915 (ketika usia 65tahun)
Sumbangan : pejuang kebebasan

Hj. Mat Hassan Panglima Munas atau lebih dikenali dengan gelaran Tok Janggut. Banyak berjasa dalam memperjuangkan tanah air dari cengkaman penjajah British ketika itu. Beliau dilahirkan pada tahun 1850 di Kampung Saring Daerah Jeram, Kelantan. Ayahandanya berkhidmat sebagai panglima istana, oleh kerana itu beliau dibesarkan didalam istana Tengku Seri Maharaja Jeram. Beliau mendalami ilmu-ilmu agama di Makkah.

Ketika beliau masih berada di Makkah Siam telah menguasai Patani. Gurunya Syeikh Ahmad memberi amanat agar anak muridnya berikhtiar mencari jalan untuk membebaskan Patani yang juga dikenali sebagai Serambi Makkah dari penjajahan Siam. Manakala penjajah Inggeris mula melebarkan penjajahan ke negeri-negeri Melayu di Utara dan Timur Semenanjung, selepas berjaya menguasai negeri di Pantai Barat Semenanjung.

Perjanjian Bangkok yang dimeterai antara penjajah Inggeris dan Siam telah menyebabkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis dibawah naungan kuasa penjajah Inggeris manakala Patani, Menara, Jalor dan Setol di bawah Siam.

Penjajahan Inggeris di Kelantan tidak direstui orang Melayu dan perubahan pentadbiran yang diperkenalkan penjajah ternyata amat menindas penduduk watan. Mat Hassan pulang ke Kelantan takkala Sultan dan pembesar Melayu di Kota Baharu tidak terdaya lagi melawan penjajahan Inggeris. Beliau menawarkan diri kepada Ungku Besar Jeram untuk menubuhkan barisan menentang penjajahan Inggeris tersebut.

Mat Hassan juga berhubung rapat dengan pejuang-pejuang yang lain seperti Tok Gajah, Mat Kilau dan Datuk Bahaman. Sentimen anti penjajah Inggeris semakin meningkat apabila tercetusnya perang dunia pertama pada ogos 1914. Kerajaan Kelantan yang berada dalam keadaan tersepit akibat daripada perjanjian penjajah Inggeris - Kelantan pada 1910. Kerajaan Kelantan dipaksa menyokong atau menyebelahi British dalam peperangan tersebut. Keputusan Kelantan memihak kepada British dan bukan Turki Uthmaniah dalam perang dunia pertama amat mengecewakan Mat Hassan kerana ia bertentangan dengan fatwa Syaikhul Islam.

Penindasan penjajah Inggeris menerusi kutipan cukai yang tinggi menyemarakan lagi kemarahan orang Melayu. Pada mulanya Mat Hassan dan pengikutnya turut membayar cukai walaupun tidak berpuas hati. Akhirnya kekacauan bermula apabila pejabat penjajah mengambil masa tiga hari untuk mengutip hasil kerana hanya ada seorang petugas hingga menyukarkan orang-orang kampung. Berikutan itu Mat Hassan memutuskan untuk tidak membayar cukai dan memulakan kempen penentangan terhadap penjajahan Inggeris.

Pada 29 April 1915, Mat Hassan bermesyuarat dengan pengikutnya di rumah Tok Nik Bas di kampung Tok Akib mengenai strategi untuk menentang penjajah Inggeris dan memutuskan untuk mengambil alih pemerintahan di Pasir Putih dan mengisytiharkan jajahan itu merdeka. Bagaiman pun mesyuarat sulit tersebut telah diketahui oleh pegawai Jajahan Pasir Puteh yang berasal dari singapura iaitu Latif, yang kemudiannya mengeluarkan waran kepada Ketua Balai Polis, Sarjan Che Wan Sulaiman untuk menangkap Mat Hassan.

Sarjan Che Wan yang diiringi beberapa anggotanya bertolak ke Kampung Tok Akib pada pagi 29 April bagi memaksa Mat Hassan menyrah diri. Ketika tiba di kampung tersebut, Mat Hassan sedang berucap dihadapan kira-kira 1,000 orang penduduk yang kebanyakannya bersenjata. Mat Hassan bersetuju untuk mengikut polis kepejabat jajahan untuk memberikan penjelasan terhadap tindakannya. Layanan polis terhadapnya ketika itu menyebabkan timbul persengketaan. Beliau tidak bersetuju polis berjalan dibelakangnya kerana dilihat seolah-olah mereka mengawal tindakannya daripada hendak melarikan diri, beliau inginkan polis berjalan seiringan atau dihadapannya. Polis tetap berkeras menyebabkan Mat Hassan menikam Sarjan Che Wan dengan kerisnya shingga mati. Disitulah permulaan peperangan antara Mat Hassan ataupun lebih dikenali sebagai Tok Janggut dengan penjajah Inggeris.

Mat Hassan dan pengikutnya menyerang Pasir Puteh menyebabkan pegawai penjajah Inggeris di jajahan itu melarikan diri ke Kota Bahru. Beliau dan pengikutnya berjaya menawan Pasir Puteh dan menubuhkan pentadbiran sendiri dan diisytiharkan sebagai Ketua Menteri dan Ungku Besar Jeram sebagai Raja. Perkembangan diPasir Puteh amat membimbangkan pihak istana di Kota bahru.

Atas cadangan penasihat penjajah British dan sokongan Datuk Bentara Setia dan Datuk Menteri, Sultan Muhammad ke IV memutuskan untuk menangkap Mat Hassan dan pengikutnya atas kesalahan menderhaka. Diatas tidak keyakinan terhadap kesungguhan Sultan dalam menghadapi kebangkitan Mat Hassan, penjajah Inggeris telah meminta bantuan tentera ke Kelantan dan seramai 239 askar Inggeris telah dihantar ke negeri itu pada 3 Mei 1915. Bagaimanapun operasi tersebut tidak berjaya apabila Mat Hassan dan pengikutnya bersembunyi. Selepas seminggu tentera Inggeris terpaksa kembali ke Singapura.

Selepas mendapat tahu kumpulan Mat Hassan keluar dari persembunyian, penjajah Inggeris kembali membawa masuk tentera Sikh untuk membakar rumah penduduk kampung. Tindakan iyu mencetus kemarahan Mat Hassan lalu menyerang khemah tentera id Pasir Puteh pada jam 3 pagi 24 mei 1915. Manakala pasukan Malay State Guides memburu kumpulan Mat Hassan.

Akhirnya kumpulan Mat Hassan dan tentera Inggeris bertempur di Kampung Dalam Pupoh tidak jauh dari kampung Merbol. Pertempuran tersebut berlaku hebat, bagaimanapun Mat Hassan terbunuh bersama ramai pengikutnya. Mayatnya diarak sekitar Pasir Puteh sebelum dibawa ke Kota Bahru dan digantung dengan kaki ke atas, kepala di bawah di Padang Merdeka sebelum dikebumikan di Pasir Pekan Tumpat Kelantan. (mannsgor)

rujukan
wikipedia




Khamis, Mac 12, 2009

CERITA PAK KADUK


Kisah ini bermula di dalam sebuah negeri yang diberi nama Cempaka Seri. Rajanya bernama Indera Seri. Raja Indera Seri ini terkenal dengan sikap sombong dan suka berjudi. Disebabkan keasyikannya menjadikan judi sebagai amalan seharian telah mendorong kebanyakan rakyat di negerinya leka dengan berjudi. Mereka terlalu asyik hingga melupakan syariat yang sepatutnya mereka ikuti kerana pada ketika itu raja-raja dan orang-orang besarnya memang amat suka melakukan pemaksiatan tersebut.

Di tepi hulu sungai negeri tersebut tinggal seorang tua dalam umur pertengahan bernama Pak Kadok. Pak Kadok seorang yang lurus bendul dan kurang daya pemikirannya. Pada suatu hari Pak Kadok berkata pada isterinya Siti, "aku ingin pergi menyabung digelanggang baginda Raja kerana aku amat suka melihat keadaan orang yang ramai menyabung di situ". "Kita bawa si Kunani ayam kita sebab ayam ni amat bertuah, kita pertaruhkan kampung kita kepada Raja, kalau kita menang tentulah kita akan mendapat duit dari Raja" sambung Pak Kadok Lagi.

Isteri Pak Kadok berkata,"jika begitu baiklah, pergilah awak menyabung bawa ayam kita. Sahut Pak Kaduk," jahitkan baju dan seluar aku dahulu dari kertas yang baru kubeli ini. Lekaslah menjahitnya.

Kata isteri Pak Kadok, "bagaimana hendak membuat baju dan seluar ini?, kalau dipakai tentu akan koyak. Tak mengapa buatkan juga aku nak pergi" rungut Pak Kadok.

Isteri Pak Kadok tidak berdaya lagi melayan percakapan Pak Kadok, lalu ia mengambil gunting dan mula mengunting kertas tersebut untuk dibuat seluar dan baju. Pak Kadok menyuruh isterinya supaya tidak menjahit seluar dan baju tersebut hanya perlu guna pelekat sahaja supaya cepat siap.

Apabila siap, Pak Kadok dengan berasa bangga memakainya dan pergilah ia kegelanggang tersebut. Selang tiada berapa lamanya Pak Kadok sampai digelanggang tersebut. Baginda Raja kenal dengan Pak Kadok, apabila baginda terlihat Pak Kadok lalu disapanya, "hai Pak Kadok apa khabar? menyabung kita?".

Maka Pak Kadok pun segeralah menyembahkan ayam sabungannya kepada baginda. Setelah diamati baginda berasakan ayam sabungan Pak Kadok amat berpontensi untuk menang. Lalu baginda mencadangkan agar ayam sabung Pak kadok ditukar dengan ayam sabungannya. Baginda berkata " Pak kadok ambilah ayam sabung beta yang amat bertuah ni berbanding dengan ayam Pak Kadok yang kurang tuahnya".

Setelah mendengar titah Raja tersebut, Pak Kaduk dengan suka citanya bersetuju untuk menukar ayam sabungannya dengan Raja. Setelah pertukaran dibuat, baginda Raja bertanya pada Pak Kadok "apakah pertaruhannya kita kali ini?". Maka sembah Pak Kadok, "ampun tuanku, patek ini tiada harta hanya kampung tempat tinggal patek yang ada, jadi kampung tersebut patek pertaruhkan". Baginda Raja bersetuju dengan apa yang Pak Kadok persembahkan.

Pak Kadok mengadaikan kampung halamannya sebanyak 100 Rial atas persetujuan bersama baginda Raja. Tetapi baginda Raja telah menyorok sebahagian wang gadaian tersebut. Setelah persetujuan pertaruhan selesai penyabungan pun bermula.

Dalam pertempuran tersebut ayam sabungan Pak Kadok Si Kunani telah berjaya mengalahkan ayam sabungan Baginda Raja Si Jalak. Setelah melihat Si Jalak sudah mati, Pak Kadok melompat kegembiraan sehingga terlupa bahawa Si Kunani telah menjadi milik Raja. Oleh kerana terlalu asyik melompat kegembiraan seluar dan baju kertasnya tadi habis terkoyak dan bertaburan, bertelanjang bulatlah Pak Kadok di khalayak ramai.

Semua orang termasuk baginda Raja tertawa terbahak-bahak melihat telatah Pak kadok. Baru Pak Kadok perasan bahawa pakaiannya sudah koyak semuanya. Pak Kadok berasa amat malu lalu terus melarikan dirinya tanpa menoleh kiri dan kanan.

Baginda Raja berkata, "malang sungguh Pak Kadok ayam sabungnya menang tapi kampung tergadai.

Ini adalah sebahagian cerita Pak Kadok yang banyak memberikan kita pengajaran dalam kita mengharungi kehidupan yang mendatang. Fikir-fikirkan lah.(manns'gor)


rujukan

wikipedia




Khamis, Mac 05, 2009

Peringatan Buat Mereka Yang Tersasul



Khabarkan pada mereka
Bahawa hidup ini sementara

Khabarkan pada mereka
Bahawa hidup ini bukanlah untuk mengadai maruah

Khabarkan pada mereka
Bahawa hidup ini bukanlah untuk melacur jiwa

Khabarkan pada mereka
Berubahlah sebelum hidup pergi dari alam nyata

Khabarkan pada mereka
Berubahlah sebelum sumpah semalam melaknat jiwa

Khabarkan pada mereka
Bangkitlah sebelum jauh meninggalkan tempat asal
Kerana tidur yang disangka lena tidak semestinya didalam syurga
(manns'gor)